Skrip Juruacara Majlis Persaraan Guru Penolong Kanan - Duniaku Nasa2k

Rentetan Perjalanan Kehidupan

Home Top Ad

Responsive Ads Here

Post Top Ad

Your Ad Spot

Saturday, 29 September 2018

Skrip Juruacara Majlis Persaraan Guru Penolong Kanan



Mengumumkan ketibaan Yang Diraikan Puan Bedah bt. Lahman

Pagi yang indah penuh ceria
Hari yang berbahagia penuh bermakna
Kami bawakan kepada anda Majlis Perpisahan sempena persaraan Pn Bedah bt Lahman, guru penolong kanan HEM sekolah kebangsaan chepir

BismilLahir Rahmanir Rahim
Assalamu `Alaikum W.B.T.

Yang Berusaha
En. Mohammad Noor b. Yahaya, Guru Besar SK.Chepir

Yang Berusaha, guru-guru penolong kanan, SKC, guru-guru dan seterusnya murid-murid sekalian.


Selamat datang ke :
Majlis perpisahan sempena persaraan Yang Diraikan Puan Bedah bt Lahman, Pen. Kanan HEM, SKC.

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal BismilLah pembuka bicara

Sarung ketupat berisi inti
Dibawa budak sambil berlari
Kehadiran semua sangat dihargai
Moga Majlis bertambah seri

Bunga mawar cantik tersemat
Dipetik gadis di tepi titi
Doa dibaca memohon Rahmat
Moga Majlis sentiasa diberkati

Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dibacakan oleh Ustaz Mohd Adli b. Mohd Noor

Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan ustaz untuk melafazkan doa.

Amin Amin Ya Rabbal `Alamin

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih   atas bacaan doa itu tadi.


Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian

Tiap pertemuan pasti ada perpisahan
Itu adat, itu lumrah kehidupan
Begitulah rentetan perjalanan
Walau sukar untuk ditelan
Tapi kaki tetap mengorak jalan
Selagi hayat dikandung badan

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak lengkaplah Majlis jika tidak ada yang berbicara

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil murid SKC anakanda Noramirah bt Zulkifli. Dipersilakan.
Terima kasih atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi.

Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan wakil guru SKC, Pn Sabariah bt Jumri untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Terima kasih  

Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada yang yang berusaha Encik Mohamad Noor b. Yahaya, guru besar SKC  untuk menyampaikan ucapannya. Majlis mempersilakan, tuan.

Demikian tadi ucapan daripada Tuan Guru Besar SKC.

Seterusnya, tibalah waktu yang kita nanti-nantikan iaitu ucapan daripada Yang Diraikan Pn. Bedah bt Lahman.  Majlis dengan segala hormatnya   menjemput dan mempersilakan puan.

Itulah tadi  ucapan perpisahan dari insan yang kita raikan.

Sudah teradat si anak lelaki
Mati berjuang, berundur jangan
Berani kami menjunjung adat
Bukan memberi kata dan puji
Hanya budi dalam ingatan
Buat kenangan sepanjang hayat

Bagi memeriahkan lagi Majlis kita pada hari ini, marilah sama-sama kita saksikan persembahan daripada murid-murid tahun 5 dan 6 SKC.Mereka akan menyampaikan dua buah lagu, iaitu “Bertemu dan Berpisah” dan selamat jalan.

Pesembahan yang cukup istimewa sebentar tadi adalah dibawah pimpinan Cikgu Lokman b. Yob.

Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian

Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan buat insan yang kita raikan pada hari ini iaitu Yang Puan Bedah binti Lahman.

Sebelum itu, Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan kepada Pn. Aliza Abd Rahim,     untuk mengiringi Yang Diraikan Pn. Bedah bt. Lahman untuk menerima cenderamata kenang-kenangan. Majlis mempersilakan puan berdua.

Kita akan mulakan dengan penyampaian cenderamata daripada wakil kelas 5 Marikh.


Seterusnya Majlis mempersilakan kepada Yang Dihormati______________________________untuk menyampaikan cenderamata daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SKC

Dan yang terakhir, Majlis mempersilakan kepada _______________________________  untuk menyampaikan cenderamata daripada Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan SKC.

Itulah tadi upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan khusus untuk Yang Diraikan Pn. Bedah bt Lahman.

Majlis merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Pn Bedah bt. Lahman atas kesudian menerima cenderamata itu tadi. Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih di atas kesudian  .

Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua penyampai cenderamata sebentar tadi.

Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah


Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi

Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung acara.

Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih daun keladi
Budi tuan jadi kenangan

Tuai padi antara nampak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Dengan itu, berakhirlah sudah Majlis kita pada hari ini. Sebelum bersurai, kita akan sama-sama beratur panjang untuk bersalaman dengan Puan Bedah bt Lahman.

Majlis juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan Pn Bedah kerana sudi untuk bersama kita pada hari yang penuh bermakna ini dan kami semua mendoakan agar Yang puan akan bertambah ceria dan bahagia di samping keluarga dalam kehidupan seharian.



Dikesempatan ini juga, kami ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang kami mengacarakan Majlis ini.

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Sekian sahaja, salam hormat, Wa BilLahit Taufiq walHidayah Wassalamu `Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh.




4 comments:

nZrah said...

izin share teks tuan, terima kasih...moga hidup tuan diberkati Allah

nasa2k said...

share lah. sama2 berkongsi ilmu.

cikgu irwanshah said...

Assalamualaikum tuan, mohon izin share teks tuan ye. Diucapkan ribuan terima kasih atas ilmu tuan. moga Allah merahmati tuan dan keluarga. Ammiinn...

Anonymous said...

Salam,
Saya minta izin guna sebagai rujukan

NOTA DAN LATIHAN KATA HUBUNG PANCANGAN KETERANGAN

  KATA HUBUNG PANCANGAN KETERANGAN    1. Kata hubung pancangan keterangan ialah kata yang berfungsi untuk menghubungkan klausa utama d...

Post Top Ad

Your Ad Spot