Menjamah pusara abah
pada bening pagi ini
menggamit rindu musim lalu
merembes pedih mata
Wajah tua yang sering menghambar kudrat
adalah abah yang tidak pernah mengeluh erti penat
terus menyambar ingatan
merenggut seluruh khayalan.
bunga cina di pusara
adalah penghuni setia
menemani abah
pun..
bunga itulah jua
yang seringkali menyapa
bila tiba tikanya
anak ini melangkah
melewati pusara abah
mengirim doa
Bunga cina dipusara
Adalah seteguh abah
yang tak kenal erti lelah
dalam meraup rezeki keluarga
Abah ...
biar kini tiada lagi
sudut untuk aku bercerita
menumpang harap pengalaman
Namun aku redha dengan suratan
kerana setiap kali bertandang
bunga cina yang kutanam ini
hadir menjadi teman
tetap setia mendengar resah rindu
yang menghambat.
Tanah Perkuburan Kg Kemelong,
Sik, Kedah
3 Mei 2018
No comments:
Post a Comment