Hari
itu entah mengapa aku tiba-tiba saja berangin. Mungkin hembusan angin yang agak
kepanasan yang menerpa masuk dari celah-celah tingkap yang melingkungi kelas peralihan itu. Mungkin juga
berkebetulan dengan tekanan pelbagai kerja yang perlu diselesaikan.
Masuk ke kelas yang kesemuanya murid berketurunan
India dan Cina memang memenatkan. Apatah
lagi, apa yang kita cakapkan mungkin hanya dua tiga orang yang memahaminya.
Kecil sahaja aku lihat anak-anak yang tidak
mengerti apa-apa itu. Satu demi satu buku latihan kerja rumah yang aku berikan semalam, aku semak.
Tiba di meja hadapan, penjuru paling kanan berdekatan pintu masuk, seorang anak kecil berketurunan India siap siaga menunggu aku.
"Mana latihan kamu ?" terus saja aku bertanya sambil jejariku menyelak-nyelak lembaran buku latihannya. Tiada langsung tanda-tanda kerja rumah yang ku berikan di selesaikannya. Jangankan latihan, tajuk dan tarikhnya pun tidak tertulis.
" Cikgu... saya lupa". Selamba sahaja jawapan yang diberikan tanpa rasa bersalah. Aku yang sudah mula berangin bertanya lagi. " Habis ... malam tadi kamu buat apa ?
" Malam tadi, saya ada tengok TV2, Ada film Tamil. Best apa?. Rajinikan dia punya hero. Ada lawan-lawan." Tangannya mengawang-gawang ke udara meniru aksi hero pujaannya.
Pangggg!!! laju saja telapak tanganku menyambar pipinya. Cepat pulak tangan ini bergerak. Zaman itu belum lagi ada undang-undang melarang cikgu melempang anak muridnya. Goyah juga anak kecil itu. Tergamam dia seketika. Sekelas terdiam.
" Cikgu hantam saya, nanti saya angkat geng, hantam cikgu." Tiba-tiba saja anak kecil itu bersuara keras sambil bingkas bangun dan mengangkat jari telunjuknya ke arah ku. Terdiam aku seketika, anak sekecil ini sudah mahu mencabar aku gurunya yang sudah sekali ganda umurnya. Namun, aku bukan anak kecil yang takut menerima ugutan seperti itu. Aku layan saja kerenahnya.
Sambil membuat aksi seperti ahli gusti yang akan melangkah masuk ke arena, aku menyambut cabarannya.
" Ok.. cikgu pun sudah lama tak gaduh, bila mau gaduh ?
" Malam minggu, cikgu"
" Baik... malam minggu ini. Mana tempat ?"
" Serdang Lama, dekat stesyen keretapi ."
Bersungguh benar rupanya anak kecil ini mencabar aku. Kalau benar aku menyahut cabarannya, alamat mati kataklah aku. Serdang Lama tu memang kawasan petempatan orang India. Kalau aku masuk ke sana seperti menghulurkan tengkok untuk di sembelih. LIgat aku mencari idea untuk mengakali anak kecil ini.
" Berapa orang awak punya geng ?" tanyaku.
" 10 orang. Cikgu punya geng berapa orang ?"
" Satu trak"
" Siapa cikgu punya geng?"
" Polis" Selamba saja aku menjawab
Kulihat riak wajahnya yang tadi nampak cukup hebat seperti Mr Sivaji dalam Sivaji The Boss mula mengendur. Mata yang tadinya membulat merenung ku sudah mula layu.
" Tara cikgu, saya main-main. " Heh heh heh... gumam ku dalam hati. 1-0 kali ni.
No comments:
Post a Comment