Bermusim bersama
menganyam mimpi-mimpi nyata
tentang ribuan lembaran cerita
tentang harapan berbunga,
dan kuntuman manis yang diraih
setelah usai jerihnya.
Ku ungkap kembali garis-garis masa
kerana semalam adalah cerita kita
dalam mendewasakan dunia
namun pencaknya umpama hilang tingkah
bila tunjangnya tiba-tiba tiada.
Dinihari 27 Zulkaedah
diregut kasih dalam keredhaan
dimamah sepi dalam kesedihan.
dipaut rindu dalam kesyahduan.
Tiada lagi tawa canda
senyum gembira dalam tutur bicara
seorang sahabat, seorang kakanda,
juga seorang saudara
lebih disayangi Ilahi menyisakan luka parah
menghumban pedih dada.
Pergimu memadam sirna
hilangmu meruntun jiwa
ketiadaanmu menggamit sendu keluarga
tenang langkahmu dicemburui kami semua.
Andaikan malam ni dirembeskan titis hujan di pusara
itu adalah titip doa kami..
melurus harap dan harapan
ditempatkan bersama insan beriman
dalam limpah rahmatNya
menuju syurgawi.
Kemuning Valley
Sik
10 Ogos 2020
12.15 Malam
No comments:
Post a Comment