Nama itu kah sering hadir ?
Setelah kebosanan menyapa
Dan di saat tubuh longlai dimamah lesu.
Tertipukah aku pada kerlingan menikam
Mencair rasa
Serta kuntum senyuman
Di saat wajah berpaling
Diakah penamat sketsa ?
Menjadi penyambung cerita
Pada plot yang tidak pernah berkesudahan.
Akurkah aku pada kenyataan?
Bahawa dia adalah merpati yang jinak makan di
tangan
Tak mungkin terbang biar gusar menjelang.
Pun kadang-kadang
Aku menjadi celaru
Dengan percaturan masa
Yang ada ketikanya terlalu angkuh
Membezakan watak
Antara dua nama yang bercantum
Atas pertalian yang terlalu longgar ikatan
Akukah ini yang terlalu mudah ?
Menyimpan hasrat
Bila saja nama itu menyelinap
Menguasai setiap rongga nafasku
Yang sesekali tersendat.
Atau aku hanya pemungut
Serpihan peristiwa
Yang bertaburan di pinggir jendela
Tanpa mengenal kasih dan kasihan.
Pun Harapku
Nama yang tertancap ini
Menjadi satu kemilau
Yang memancar
Dan bukan hanya memori
Yang terbongkar.
Aku kan tetap menyimpan hasrat
Selagi ada kudrat
Kerana fantasi
Pasti menjadi realiti
Bila azam yang tersemat
Membuah bersama
Keyakinan yang mendarat.
Seri Serdang
29.01.93
11.00 pm
No comments:
Post a Comment