Seringkali apabila ada masa lapang, mejaku akan dikerumuni oleh anak-anak muridku. Gemar benar murid-murid sekolah rendah berada di sekeliling cikgunya. Ada saja permintaan mereka. Selalunya mereka ingin mendengar pelbagai cerita dari mulutku. Kalau aku tidak begitu sibuk, aku melayan sahaja karenah mereka.
(i)
" Cikgu, hari ni cerita lah cerita hantu pulak."
" Baiklah. Hantu jenis apa yang kamu hendak tahu ?"
" Hantu raya, cikgu"
" Hantu raya ni selalu berjalan di lebuhraya. Selalunya dia duduk diatas pokok bunga raya yang berhampiran dengan balairaya. Hantu raya yang duduk di atas pokok bunga raya berhampiran balairaya ini akan menunggu budak-budak balik dari sembahyang raya. Budak-budak tu pakai baju raya. Mereka juga bawa duit raya.Bila jumpa hantu raya, budak-budak yang balik beraya lari ikut jalanraya. Duit raya mereka terjatuh dekat pokok bunga raya. Hantu raya ambil duit raya, terus pergi shopping di pasar raya. Hantu raya tu betul-betul beraya."
" Alaaa... cikgu, tak mau lah cerita macam ni..."
" Hik.hik..hik.."
(ii)
Hari lain, kelas lain.
" Cikgu, ceritalah tentang hantu langsuir."
" Al Right"
" Hantu langsuir ni biasanya selalu duduk berhampiran tingkap. Diam jer kat situ. Macam-macam warna ada. Ada yang besar, ada yang kecil. Ada yang panjang dan ada yang pendek. Bila angin bertiup dan tingkap terbuka, hantu langsuir ni akan melambai-lambaikan tangannya."
" Cikguuuuu... itu langsir, bukan langsuir..."
" Hik.hik..hik.."(iii)
Suatu tengahhari.
" Cikgu, ceritalah tentang hantu bungkus."
"Ooo... hantu bungkus ye...'
" Tadi, waktu nak datang ke sekolah pun saya dah terserempak dengan hantu bungkus. Banyak pulak tu. Ada yang duduk dalam bakul. Ada yang duduk atas meja. Ada yang berbungkus dengan surat khabar, ada yang bebalut dengan daun pisang."
" Cikguuuu.. tu nasi lemak"
alaaa... tak sempat habis nak bercerita tentang hantu bungkus.
( iv)
Masa rehat.
" Cikgu, hantu galah tu macam mana ?
" Hantu galah ye. Hantu galah ni tinggi. Boleh berubah menjadi macam-macam. Ada yang berubah seperti kayu, ada yang berubah seperti buluh. Kadang-kadang ada juga yang macam alumunium. "
" Hantu galah ni banyak muncul pada musim buah-buahan. Apatah lagi ketika musim rambutan masak. Banyaklah yang berada di situ. Ada yang bergigi tajam dan berekor panjang."
" Cikgu.... tu galah yang ada gunting untuk petik rambutan."
" Alamak .... salah lagi ke ?"
(v)
" Cikgu, ceritalah tentang hantu bota cikgu"
" Hantu bota ni, dia tinggal kat dalam bendang. Giginya tajam. makan tanah. Ada asap yang keluar dari lubang hidungnya. Selalu keluar waktu siang dan bunyinya agak kuat"
" Cikgu.... itu kubota untuk bajak tanah, bukan hantu bota"
hahahhahah... seronok gak sekali sekala main-mainkan bebudak ni.
Hantu Bota adalah sejenis spesies hantu yang cukup terkenal di kalangan masyarakat petani di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia. Hantu ini biasanya tidak menggangu orang. Selalunya kelihatan sepeti bebola api yang terbang menangkap katak di sawah-sawah padi pada waktu malam. Itu adalah fakta yang ku dengar dari mulut orang tua. Tapi, lain pulak cerita tentang hantu ini yang aku sajikan kepada murid-murid ku. hehehe
(v)
Selepas rehat.
" Cikgu tahu tak apa itu toyol ?"
" Tahu. Nak dengar cerita tentang hantu toyol ke?"
" Nakkkkkkkk"
" Toyol ni dia budak lagi. Suatu hari budak ini disuruh oleh emaknya untuk membeli toyu di kedai. Selepas membeli toyu di kedai dia pun balik ke rumah sambil membawa botol toyu yang baru di belinya. Dalam perjalanan pulang, budak ini tersepak akar pokok lalu tersembam ke tanah. Botol toyu yang dibawanya pecah lalu toyu itu terpercik mengenai baju putih yang di pakainya. Hingga hitam semua baju dan mukanya."
" Dia menjadi sangat takut ketika itu. Takut kalau-kalau dimarahi oleh ibunya. Akhirnya dia mencuri-curi masuk ke dalam rumahnya untuk mengambil duit simpanannya sendiri untuk membeli toyu sebagai ganti. Ketika melangkah keluar, tiba-tpba dia terserempak dengan ibunya. Dia terus lari menyebabkan wang yang di bawanya jatuh bertaburan."
"Ibunya terus menjerit kerana terkejut. Oleh kerana dia terbau toyu dan kesan toyu dan duit yang bertaburan di lantai, ibunya menjerit lagi sekali."
" Toyu.... toyu.... duit hilang.. duit hilang "
Sejak hari tu lah muncullah toyol, sebab orang kampung susah nak sebut toyu cepat-cepat".
"Best tak cerita cikgu ?"
"Tak best langsung... cikgu tipu ni...."
hikhikhikhik
Nota : Toyu adalah kicap kalau dalam Bahasa Melayu Standard
No comments:
Post a Comment